Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) meletakkan sasaran lapan terbaik dalam Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Bawah 15 Tahun di Kuantan, yang bermula esok.

Disertai 32 pasukan seluruh negara, cabaran sengit dijangka diberikan dengan wakil Terengganu itu diundi bersama Maktab Sabah, SMK Tun Hussein Onn, Johor (THOR) dan SMK Derma dari Perlis.

Menurut jurulatihnya, Ahmad Amri Abdullah, sasaran lapan terbaik dilihat realistik dengan latihan berterusan dijalankan sejak selesai Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang lalu.

Walaupun tidak dapat mengadakan perlawanan persahabatan, pemain-pemain jelasnya menunjukkan kesungguhan dalam sesi latihan yang diadakan dua kali sehari.

"Cabaran tahun ini cukup sengit kerana bukan calang-calang pasukan yang bertanding. Setiap negeri diwakili dua sekolah terbaik.

"Kami perlu melepasi peringkat kumpulan atau sekurang-kurangnya menyamai pencapaian tahun lalu di mana SESMA bersaing dalam kategori bowl," kata Ahmad Amri.

Selain itu, turut mewakili Terengganu ialah SMK Sultan Sulaiman yang akan berdepan SBPI Jempol (INTEJ), Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR).