Pengarah Bahagian atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, seolah-olah menutup pintu buat persatuan dan atlet negara yang keluar daripada kem latihan berpusat di Bukit Jalil, awal Januari lalu, sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Tidak menolak sekiranya PKP dilanjutkan lebih lama sekali gus mengekang latihan mereka di luar, ia ibarat isyarat tegas daripada MSN untuk mahu lebih menumpukan perhatian kepada isu COVID-ini daripada melayani karenah individu tertentu.

Hoki, boling padang, silat, boling tenpin, tinju dan muay memilih untuk berlatih di luar kem latihan pusat kami sejak 13 Januari lalu selain atlet daripada sukan tertentu yang memilih berlatih di luar kem atas kebenaran seperti menghadapi masalah keluarga.

"Mereka perlu menunggu hingga PKP tamat sebelum dapat kembali menjalani latihan di MSN.

"Sekiranya PKP tidak disambung, barulah kami akan berbincang dengan mereka untuk kebenaran berlatih seperti biasa di sini," katanya ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Fariha Razak.





"Mereka mungkin perlu terus berlatih di luar sebab kapasiti di sini hampir mencapai tahap maksima yang kebanyakannya dihuni oleh atlet Paralimpik dari Kompleks Pusat Sukan Kg Pandan yang kini menjadi tempat kuarantin atlet dan jurulatih.

"(Penginapan MSN) memang sudah agak sesak jika mahu ada penambahan dari luar. Kami perlu pastikan keselesaan mereka."