Walaupun teruja, Majlis Sukan Negara (MSN) tidak terkejut dengan kejayaan gimnas wanita kebangsaan, Farah Ann Abdul Hadi, layak ke pentas Olimpik Tokyo 2020.

Farah layak secara merit ke temasya itu selepas menamatkan saingan individu all around dalam Kejohanan Dunia 2019 dalam kelompok 16 terbaik, semalam.

Pencapaian itu bermakna atlet berusia 25 tahun itu menamatkan penantian sejak edisi Athens 2004 untuk Malaysia memiliki wakil gimnastik artistik di pentas Olimpik.

MSN menerusi Pengarah Bahagian Atlet, Jefri Ngadirin, menegaskan kejayaan atlet kelahiran Selangor itu tidak berdasarkan tuah tetapi perancangan rapi daripada barisan kejurulatihan negara.

"Kami memang hantar dia ke Kejohanan Dunia untuk layak ke Olimpik. Pada mulanya, jurulatih juga ingin mencuba dan kami memintanya untuk melakukan persiapan. Alhamdulillah, perancangan jurulatih untuk dia berhasil. Ia sangat penting untuk pembangunan sukan gimnastik," katanya.

"Kalau dilihat, peluang Farah Ann dalam individu all around itu agak terbuka. Kami akan lihat persiapan ke Olimpik nanti bagi membantunya berdaya saing dengan wakil negara lain."