Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, tegas mempertahankan bahawa badan induk itu tidak panik untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 di sebalik pembentukan program baru.

Sebelum ini, Nadi Arena melaporkan terdapat dakwaan bahawa pembentukan program baru untuk menghadapi temasya Tokyo 2020 yang berbaki tujuh bulan lagi itu adalah satu tindakan panik.

Bagaimanapun, Shapawi lantang mempertahankan tindakan MSN dengan menjelaskan keadaan sebenar mengenai pembentukan program baru itu.

"(Berhubung) dakwaan yang mengatakan bahawa MSN dan persatuan dalam keadaan panik untuk menghadapi Sukan Olimpik 2020, saya ingin tegaskan persediaan telah pun bermula sebaik habis Sukan Olimpik Rio 2016.

"Program Podium telah disusun dan ia turut merangkumi bukan sahaja Sukan SEA Filipina 2019, bahkan Sukan Komanwel 2016 dan secara tidak langsung ia menyediakan atlet untuk menghadapi peringkat kelayakan.

"Jadi, tindakan panik bukanlah satu isu," katanya.

Tambah Shapawi, MSN menjangkakan bilangan atlet yang layak ke Sukan Oimpik bakal bertambah pada 2020 daripada beberapa jenis sukan, antaranya badminton dan gimnastik.

"Sehingga pertengahan 2020, kami menjangkakan beberapa sukan lain seperti berbasikal, badminton dan memanah, terjun dan golf akan layak ke Sukan Olimpik," tambahnya.

Malaysia sudah mempunyai perancangan khusus untuk temasya di Jepun itu, iaitu Program Podium yang dilancarkan pada 2016, namun beberapa siri kegagalan dalam beberapa temasya sukan menyaksikan ia dirombak.


Editor: Shaiful Shamsudin