MSN tambah elaun bulanan atlet negara

Oleh Staff Writer 20 Disember 2018 553
MSN tambah elaun bulanan atlet negara
Majlis Sukan Negara (MSN) akan menaikkan elaun bulanan atlet kebangsaan bermula 2019 berdasarkan pencapaian mereka dalam temasya utama serta kejohanan peringkat dunia.

Sebelum ini, atlet kebangsaan yang meraih pingat emas Sukan Komanwel dan Sukan Asia menerima elaun bulanan RM3,500.

Jumlah itu kini meningkat kepada RM4,000 susulan pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dalam Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan (Shakam) 2018 di MSN, Bukit Jalil semalam.

Atlet yang memenangi perak serta gangsa masing-masing menerima elaun bulanan RM3,500 dan RM3,000.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, turut menjelaskan atlet yang bergelar juara dunia pula akan menerima elaun bulanan sebanyak RM3,500.

"Kalau tidak terpilih bermakna habislah. Ia hanya melibatkan atlet dalam program sahaja. Pemilihan itu dilakukan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), MSN, persatuan sukan kebangsaan dan Institut Sukan Negara (ISN). 

"Katakanlah atlet tidak menang Sukan Asia tetapi bergelar juara dunia, atlet tersebut akan menerima RM3,500," kata Shapawi.

Sementara itu, Syed Saddiq turut menjelaskan pihaknya meletakkan keyakinan yang cukup tinggi buat atlet negara untuk terus mempamerkan persembahan lebih cemerlang tahun depan.

Tahun 2019 menyaksikan sistem program berperingkat akan digunakan dengan menumpukan kepada persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 di samping Sukan SEA 2019 di Filipina.

"Pertama sekali, kami ingin pastikan tiada perubahan besar sehingga menggugat atlet untuk terus mara ke depan. Kami sudah maklumkan sebelum ini kepada media mengenai sistem yang dijalankan bagi memastikan pembangunan sukan terus meriah," ujar Syed Saddiq.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen