Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, setuju dengan keputusan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menghalang atlet yang memiliki rekod kes doping daripada menyertai Sukan Malaysia (Sukma) Johor mahupun mewakili negara.

MSN menyokong pendirian tegas badan induk itu dalam menangani isu doping.

Keputusan menghalang atlet yang dipalit isu positif doping untuk menyertai Sukma Johor dan mewakili negara dilihat keterlaluan, namun ia terpaksa diambil demi kebaikan angkat berat negara.

"Ini menunjukkan bahawa Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) dan MSN tidak berkompromi terhadap isu ini.

"MSN sememangnya dari dulu lagi berdiri di belakang PABM.

"Memandangkan Sukma Johor ditangguhkan, ini bermakna ada ruang untuk kami mengadakan perbincangan," katanya ketika dihubungi wakil Nadi Arena, Bazly Azmi.

PABM membuat keputusan drastik itu dalam mesyuarat khas kelmarin.

Ini bermakna, atlet angkat berat juga perlu lebih peka mengenai setiap bahan yang diambil terutama makanan tambahan bagi memastikan rekod bersih tanpa kes positif doping sejak tahun lalu dapat dikekalkan.

"Biar kalah dalam kejohanan, janji badan kita bersih daripada bahan terlarang," kata atlet Wilayah Persekutuan, Erry Hidayat.