Majlis Sukan Negara (MSN) akan meneruskan kesinambungan daripada elemen program Kita Juara dalam membentuk program baru bagi membantu atlet negara menghadapi dua temasya utama pada 2018.

Dua temasya menjadi tumpuan kontinjen negara tahun depan, iaitu Sukan Komanwel Gold Coast, Australia pada April dan Sukan Asia Jakarta-Palembang, Indonesia, empat bulan kemudian.

Lantaran itu, satu lagi program persiapan atlet perlu dirangka dengan teliti supaya mereka dapat mempamerkan persembahan yang terbaik.

Meskipun Program Podium kendalian Institut Sukan Negara (ISN) akan lebih mendapat perhatian, MSN akan memastikan atlet yang tidak berada dalam program itu juga akan turut mendapat manfaat.

"Ini merupakan hasil daripada program Kita Juara buat atlet menghadapi Sukan Asia dan Sukan Komanwel tetapi dalam masa sama, Program Podium merupakan perancangan utama untuk atlet bagi menghadapi dua kejohanan utama itu," kata Ketua pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Sebanyak 23 persatuan membabitkan 25 disiplin sukan telah menyenaraikan atlet masing-masing dan keputusan akhir akan diumumkan MSN tidak lama lagi.

"Secara dasarnya, kami telah mengatur perancangan untuk menghadapi kejohanan-kejohanan yang bakal berlangsung pada tahun 2019."

Sementara itu, beberapa wakil persatuan sukan kebangsaan yakin dengan kemampuan atlet yang telah disenaraikan untuk membawa cabaran Malaysia untuk menghadapi dua temasya utama yang bakal berlangsung, tahun depan.

"Kami menyediakan atlet-atlet untuk beraksi dalamSukan Komanwel dan memiliki peluang untuk meraih pingat di Gold Coast. Buat masa ini, kami berharap tiada perkara yang tidak diingini berlaku," kata Pemangku Setiausaha Kehormat Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Abu Hanapah Ismail.

"Kami berharap 20 pemain badminton dapat disenaraikan untuk beraksi dalam Sukan Asia tetapi keputusan akhir terletak di tangan MSN," kata Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai.

"Kami mahu momentum kejayaan skuad ragbi dalam Sukan SEA dapat diteruskan dalam kejohanan-kejohanan akan datang," kata Presiden Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

"PKBM akan berbincang semula dengan pihak MSN bagi mendapatkan keputusan yang terbaik bagi program serta menghadapi kejohanan tahun depan," kata Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill.