MSN rangka penganjuran lebih baik Sukma 2018

Oleh Shaiful Shamsudin 26 November 2016 61
 MSN rangka penganjuran lebih baik Sukma 2018
Aspek pengelolaan, peraturan tetap dan peraturan am adalah antara yang dibincangkan di Bengkel Pengelolaan Sukan Malaysia (Sukma) anjuran Majlis Sukan Negara (MSN), semalam. 

Menurut Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, bengkel itu turut membincangkan segala kelemahan yang terdapat dalam Sukma 2016. 

Objektif utamanya adalah untuk memastikan penganjuran Sukma yang lebih baik daripada semua aspek pada edisi 2018. 

"Kami membuat perbincangan merangkumi semua aspek dalam ketiga-tiga bidang tersebut dan rumusan-rumusan itu akan kami perhalusi untuk dikemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, sebagai pengerusi tertinggi dalam Jawatankuasa Sukma 2018 di Perak," ujarnya. 

Ahmad Shapawi mengakui penglibatan atlet kebangsaan untuk temasya Sukma turut dibincangkan dalam bengkel semalam dan beberapa cadangan telah diterima. 

Namun, beliau menegaskan belum ada sebarang kata putus terhadap penglibatan atlet kebangsaan di Sukma dan ia hanya akan diputuskan dalam masa terdekat. 

"Perbincangan dan rumusan mengenai perkara tersebut telah dipersetujui bersama semasa bengkel tersebut dan akan dibawa kepada ahli jawatankuasa tertinggi untuk dibincangkan."

Bengkel itu dihadiri wakil majlis sukan negeri-negeri dan juga persatuan sukan kebangsaan. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen