Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak perlu bimbang untuk mencari pegawai bagi mengetuai struktur program latihan baru atlet kebangsaan kerana Majlis Sukan Negara (MSN) memiliki sekurang-kurangnya dua individu paling layak.

Program latihan baru atlet negara memerlukan individu yang pakar mengenai aspek pengurusan sukan untuk menghasilkan keputusan terbaik.

Bagi pemerhati sukan negara, Dr Mohamad Faithal Hassan, MSN memiliki ramai pegawai berkebolehan, sekali gus tidak perlu melantik pegawai luar negara seperti apa yang dilakukan oleh Program Podium dan apa yang penting adalah pelaksanaan program yang betul.

"MSN merupakan satu badan yang telah berjaya menghasilkan atau menjalankan program-program mengikut perancangan sebelum ini.

"Jadi, saya tidak bersetuju sekiranya untuk program baru ini, mereka masih menggunakan khidmat tokoh-tokoh daripada luar negara. Kalau dalam Malaysia, saya fikir ada dua nama yang berada dalam pemikiran saya, iaitu Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, serta Arrifin Mohd Ghani," katanya.

Rabu lalu, Syed Saddiq mempengerusikan mesyuarat penstrukturan semula program latihan atlet negara bagi menggantikan Program Podium.

Atlet akan diletakkan dalam empat program berbeza mengikut temasya sukan.

Pengumuman akan dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa prestasi tinggi kawalan dan pelaksanaan, minggu depan.