Majlis Sukan Negara (MSN) memberikan lampu hijau berhubung hasrat atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei yang mahu menjalani latihan bersama rakan sepasukan, Nauraj Singh, di Sydney, Australia ketika ini.

Jawatankuasa kerja MSN bersetuju untuk membiayai Hup Wei membabitkan elaun perbelanjaan sepanjang dia berada di sana nanti.

Pihak MSN tidak menghalang, sebaliknya membuka ruang buat Hup Wei menjalani latihan lebih sempurna sebaik namanya berada dalam senarai yang dikeluarkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) minggu lalu.

"Kami tidak menghalang dan telah berbincang dengan KOM untuk memastikan Hup Wei segera menjalani latihan bersama Nauraj di Sydney," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Urusan penghantaran dan tiket penerbangan Hup Wei akan diuruskan pihak MOM dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kini sedang menunggu pengesahan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim, yang kini berada di luar negara

"Kami telah bersetuju membiayai Hup Wei dan ia akan diuruskan KOM," ujarnya.

Hup Wei bakal menjalani latihan lebih sempurna bersama jurulatih, Alex Stewart, yang sudah bersama Nauraj sejak Januari lalu.

Ia merupakan berita gembira buat Hup Wei yang sekadar menjalani latihan bersendirian di trek MSN ketika ini.