Pengarah Bahagian Persediaan Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, mahu setiap atlet dan jurulatih akur dengan segala perubahan dan kawalan ketat yang telah diarahkan bagi mengawal penularan dalaman wabak COVID-19, seperti yang berlaku di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

17 April lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan enam pemain negara didapati positif COVID-19 dan terpaksa menggantung program latihan skuad senior dan remaja.

Laporan terbaru semalam mendapati terdapat lapan pertambahan kes positif membabitkan atlet pelapis di ABM susulan ujian saringan yang dijalankan Selasa lalu.

MSN menggesa atlet dan jurulatih supaya akur dengan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan jangkitan dalaman seperti yang berlaku di ABM.

"Kami telah mengeluarkan arahan pentadbiran kepada semua jurulatih dan atlet untuk mengawal pergerakan mereka dengan lebih ketat dan menasihatkan mereka untuk mematuhi setiap SOP yang ditetapkan, terutama SOP sewaktu mereka berada di luar dan SOP sewaktu latihan.

"Kerana kami takut sekiranya berlaku penularan dalaman seperti yang berlaku di ABM," katanya.