Skuad bola jaring Kelantan akur dengan kekuatan Perak dan Kuala Lumpur dalam Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (MSKPPM) Ke-45 di Kompleks Sukan Paroi, Negeri Sembilan, yang berakhir kelmarin.

Biarpun bermula cemerlang dengan mengalahkan Pulang Pinang 41-24, dua kekalahan berturut-turut kepada Perak (11-39) dan Kuala Lumpur (19-45) menghancurkan impian Kelantan ke suku akhir.

Pengurus Kelantan, Noorzilawati Ab. Rahim, berkata pemainnya telah menunjukkan aksi terbaik tetapi pasukan lawan lebih mantap untuk meleburkan harapan Kelantan dalam Kumpulan B.

Menurutnya, skuad bola jaring negeri itu bakal membuat persiapan awal dengan mengadakan sesi pemilihan pemain dan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan untuk mengukuhkan kombinasi pemain.

"Kami akur dengan kekalahan yang diterima dan harap pemain dapat bersedia untuk kembali mengikuti kem latihan bagi persediaan awal MSKPPM tahun depan," katanya.

Keputusan penuh bola jaring MSKPPM

Johan: Selangor; Naib Johan: Melaka; Ketiga: Sabah; Keempat: Kuala Lumpur