Skuad Sepak Takraw Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Kelantan (PSKPPK) mahu memulakan aksi Kumpulan B dengan mencatatkan kemenangan ke atas Melaka dalam Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (MSKPPM) ke-45 di Kompleks Sukan Paroi, Negeri Sembilan, pagi esok.

Ketua Jurulatih Kelantan, Baderin Hashim berkata, perlawanan pertama cukup penting sambil mengingatkan pemainnya supaya tidak lalai dan memberi tumpuan penuh terhadap aksi pembukaan Kumpulan B.

"Semua pasukan ingin memulakan aksi pertama dengan kemenangan. Kelantan akan bertemu Melaka dan saya jangkakan satu permainan yang menarik, pagi esok.

“Insya-ALLAH, kami akan turun dengan semangat perjuangan yang tinggi untuk memburu kemenangan pertama” katanya.

Ditanya mengenai persediaan pasukannya menjelang kejohanan ini, Baderin memberitahu, Kelantan telah menjalani latihan intensif selama seminggu dan sempat mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan.

Katanya lagi, gandingan pemain berpengalaman seperti ketua pasukan, Rosli Che Wil, bekas pemain kebangsaan, Awie Seman, Shamsul Nordin, Khairul Anuar Dollah, Mohd Zaimi Aboo Jubar dan Shamsul Bahari Abdul Manap turut menjadi sandaran Kelantan untuk mencabar pasukan lain.

"Alhamdulillah, 12 pemain yang dipilih dari kejohanan peringkat negeri adalah gabungan pemain berpengalaman dan muka baharu.

"Kita akan memberi tumpuan sepenuhnya dalam aksi kumpulan dahulu," katanya.

Untuk rekod, Kelantan diundi bersama Melaka, Terengganu dan Perak dalam kumpulan B.