Kelantan menamatkan hari pertama dengan rekod bersih apabila mengalahkan Sabah 3-0 dalam acara berpasukan sepak takraw Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia ( MSKPPM) Ke-47 di Dewan Tertutup, Taman Paya Rumput Perdana, Melaka hari ini.

Regu A Kelantan yang turun dengan misi memburu kemenangan, menang mudah 21-16 dalam set pertama dan menghadapi tentangan sengit sebelum menang 24-22 dalam set berikutnya.

Regu B Kelantan mengesahkan kemenangan dengan mengatasi regu Sabah B 2-0 (21-15, 21-18) manakala regu Kelantan C yang kalah set pertama 15-21, bangkit untuk menang dua set berikutnya 21-16, 21-18.

"Syukur dengan kemenangan ini. Biarpun Sabah memberi saingan hebat, pemain saya tenang untuk mencatatkan kemenangan," kata ketua jurulatih, Zairullah Yusof.

Terdahulu, Kelantan bermula garang apabila menumpaskan Pahang 2-1 pada sebelah pagi.

Keputusan lain:

Perak 3 Sarawak 0
Pahang 3 Kedah 0
Terengganu 3 MESCA 0
Johor 3 Negeri Sembilan 0