Penajaan sebanyak RM2 juta daripada sebuah syarikat tempatan melegakan Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) dalam memastikan Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Syazrin Muhamad Latif dihantar ke luar negara lebih awal sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Peruntukan tambahan itu mampu menyempurnakan perancangan MSA bagi menyediakan persiapan awal Khairulnizam dan Syazrin ke Tokyo.

Ia memandangkan kedua-dua atlet itu antara yang terawal layak ke temasya terbesar tersebut.

Latihan di luar negara seperti Eropah dan Jepun menjadi keutamaan selepas kem latihan di Sepanyol dibatalkan bulan lalu.

MSA juga tidak akan mengecualikan persiapan empat atlet lain, iaitu Noraishah Jamil, Norashikin Mohamed Sayed, Faisal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz, yang sedang merebut slot kelayakan acara 470.

"Mereka hampir layak ketika Kejohanan Dunia yang lalu.

"Kami berasakan mereka masih mampu untuk melayakkan diri tahun depan," kata Pengurus MSA, Nik Ashraf Qaedi Nik Azizan.

Dalam pada itu, jurulatih Khairulnizam, Mohd Afendy Abdullah, yang telah ditamatkan kontrak bersama MSA, percaya pihak persatuan itu dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan membuat keputusan terbaik dalam menentukan kedudukannya tahun depan.

"Setiap atlet pasti sudah serasi dengan jurulatih yang telah melatihnya buat sekian lama.

"Tindakan menukar jurulatih akan mendatangkan kerugian buat atlet itu.

"Saya berharap perkara seperti itu tidak akan berlaku," katanya.