Jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, memerlukan tempoh lapan tahun lagi untuk menyamai pencapaian legenda, Sazali Samad, selepas berjaya meraih gelaran Mr Universe buat kali kedua berturut-turut dalam kategori badan klasik.

Syarul dianggap pengganti terbaik Sazali selepas bergelar Mr Universe 2017.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu tiba di tanah air selepas mempertahankan gelaran itu di Mongolia, sekaligus melengkapkan musim gemilang apabila turut mempertahankan gelaran Mr Asia, Ogos lalu.

Begitupun, dia masih jauh ketinggalan berbanding Sazali yang sedang menjalani penggantungan ekoran penggunaan bahan terlarang.

"Sazali seorang atlet legenda, rekodnya tetap tinggi tetapi buat masa ini dia tidak ada.

"Namun, saya akan buat apa yang mampu (untuk menaikkan sukan bina badan negara).

"Setakat ini, atlet bina badan tidak pernah pulang hampa untuk membawa pulang medal," katanya.

Setakat ini, Syarul sudah mengumpul dua gelaran Mr Universe dan tiga kali Mr Asia.

Malangnya, acara itu tidak dipertandingkan dalam Sukan Asia Indonesia, tahun depan selepas kali terakhir diadakan di Doha, Qatar, pada 2006.

"Sayanglah sebab Indonesia tidak berjuang untuk mengadakan acara bina badan.

"Kalau ia berkaitan soal doping, sukan lain pun tetap mempunyai masalah tersebut.

"Tidak bolehlah salahkan bina badan sahaja."