Persatuan Bina Badan Sabah (SBBA) menyokong keputusan Persatuan Bina Badan Malaysia (PBBM), baru-baru ini, menunda kejohanan Mr Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 7 hingga 10 Ogos 2020 ke tahun depan.

Susulan itu juga, persatuan berkenaan turut membuat keputusan serupa apabila menangguhkan kejohanan Mr Sabah dan Mr Borneo.

Presiden SBBA, Joannes Staneslous berkata, keputusan itu dibuat ekoran wabak pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk negara ini.

"Persatuan Bina Badan Malaysia (PBBM) baru-baru ini juga telah mengumumkan Mr Malaysia 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 7 hingga 10 Ogos ditunda ke tahun 2021 di Kedah.

"SBBA bersetuju dan menyokong keputusan badan induk bina badan negara itu kerana ia adalah tindakan terbaik yang perlu dibuat sekarang dalam usaha membantu memerangi Covid-19," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Beliau berkata, penundaan kejohanan peringkat kebangsaan itu juga sewajarnya diikuti di peringkat negeri.

"Kalau keadaan mengizinkan, kami mungkin anjur Mr Borneo pada Disember tahun ini namun ia bergantung kepada situasi Covid-19.

"Kalau tidak dapat adakan tahun ini maka semuanya akan dianjurkan pada tahun depan," kata Joannes.

Katanya lagi, menunda acara yang sudah menjadi acara tahunan persatuan bukan keputusan yang mudah tetapi keselamatan dan kesihatan jauh lebih penting.

"Bila menunda sesuatu acara, banyak kerja perlu diuruskan semula termasuklah tempahan venue dan tajaan manakala atlet pula perlu menyusun semula program latihan.

"Bagaimanapun, dalam soal keselamatan dan kesihatan, kita tidak ada pilihan. Kita kena berkerjasama dengan kerajaan untuk sama-sama memerangi Covid-19 termasuk mematuhi arahan PKP.

"SBBA tidak terkecuali dan saya gembira semua warga kami...pegawai, jurulatih, ahli dan atlet dalam keadaan baik dan bebas dari Covid-19 setakat ini," katanya lagi.