Mr. Malaysia 2020 dibatalkan

Oleh Bernama 24 Mei 2020 73
Mr. Malaysia 2020 dibatalkan
Kejohanan bina badan kebangsaan Mr. Malaysia 2020 yang dijadualkan berlangsung  di Kedah, Julai ini, dibatalkan berikutan penularan wabak COVID-19.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), Kamarulzaman Kadir, berkata pihaknya bersetuju untuk meluluskan permohonan daripada Persatuan Bina Badan Negeri Kedah bagi membatalkan kejohanan itu.

Bagaimanapun, katanya, Kedah masih akan menjadi tuan rumah pada edisi tahun depan.

“Dalam situasi tidak menentu ini, kami khuatir dengan keselamatan manakala penaja pun tidak boleh menjamin untuk memberikan jumlah penuh penajaan yang dipersetujui. Jadi kami mengambil keputusan membatalkan edisi tahun ini.

“Kami tidak mahu menunda kejohanan ini beberapa kali, lebih baik adakan pada 2021. Lagipun, gimnasium masih tutup, atlet tidak dapat berlatih. Mereka memerlukan masa untuk memantapkan kembali otot-otot mereka,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata buat masa ini tiada perubahan bagi kejohanan peringkat rantau dan antarabangsa yang dijadualkan bermula September ini.

Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia Tenggara Ke-17 yang pada awalnya dijadualkan bermula 11-16 Jun di Vientiane, Laos, telah dijadualkan semula dari 24 hingga 29 Sept.

Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia ke-54 dijadualkan bermula 5-11 Sept di Maldives, manakala Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia dijangka diadakan pada November.

Jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah merupakan juara bertahan dunia dan Asia selepas memenangi kejuaraan dunia keempat dan kelima Asia pada tahun lalu.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen