Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bersama-sama Persatuan Olahraga Para Malaysia (POPM) tampil dengan inisiatif menyediakan sumbangan barangan keperluan asas kepada kira-kira 40 atlet pembangunan para.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, berkata atlet pembangunan para tidak mendapat keistimewaan seperti atlet sepenuh masa di bawah program Majlis Sukan Negara yang menyaksikan mereka menerima elaun separuh masa sahaja.

"Sudah pasti atlet pembangunan merupakan kelompok atlet paling terkesan sejak semua aktiviti sukan masih ditangguhkan akibat wabak COVID-19.

"Mereka ini rata-ratanya hanya mendapat elaun separuh masa dan memerlukan sokongan yang padu untuk kekal aktif dalam sukan kerana ada antara mereka ini datangnya daripada keluarga yang susah," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata atlet pembangunan para wajar mendapat layanan yang adil sama seperti atlet lain kerana mereka merupakan barisan pelapis masa depan sukan para negara.

Sumbangan itu merupakan kesinambungan program bantuan 'Healthcare Kit MPM' kepada kira-kira 60 atlet para negara pada 7 April lepas.

Megat D Shahriman juga berharap dan mengalu-alukan kerjasama dengan 23 persatuan sukan para kebangsaan lain untuk menjalankan aktiviti yang sama.

“Harapan saya semoga ia menjadi titik permulaan untuk semua 24 ahli gabungan kami untuk lebih aktif dan kami di MPM sedia bekerjasama.

“Hanya perlu maklumkan, kami sedia membantu dan berkhidmat untuk ahli gabungan,” katanya.

-- BERNAMA