Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) akan mewujudkan program simulasi bagi memastikan moral atlet para negara berada di tahap tertinggi walaupun Sukan Para Asean ditunda.

Sebelum ini, Sukan Para Asean yang dijadualkan bulan depan ditunda lagi kepada tarikh yang belum ditentukan, berkemungkinan Mei atau Jun depan berikutan penganjur berdepan masalah kewangan dan logistik.

Situasi itu menyaksikan persiapan atlet para negara terganggu dalam usaha mengumpul mata kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo.

Bagaimanapun, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, mengesahkan penganjuran program simulasi seiring penglibatan kejohanan di luar negara bagi memastikan atlet negara sedia daripada aspek fizikal dan mental.

"Kami dan MSN bekerjasama. Latihan diteruskan dan mana-mana sukan yang boleh diterapkan menerusi simulasi, ia akan dibuat. Begitu juga dengan kejohanan luar, jadi ada pendedahan. Kami tidak mahu mengganggu momentum atlet," katanya.

Sementara itu, beliau turut menegaskan kontinjen negara akan membantah temasya di Filipina jika tarikh baru berhampiran dengan Sukan Paralimpik 2020.

"Kami tidak memaklumkan secara tidak rasmi bahawa tidak bersetuju. Kalau boleh, duduk berbincang dan dapatkan tarikh."


Editor: Nafis Abdullah