Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan mendapatkan maklumat daripada Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) mengenai isu pembatalan Sukan Para ASEAN (APG) 2020 di Filipina berikutan pandemik COVID-19.

Presidennya, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, berkata jika berita pembatalan temasya dwitahunan itu benar, ia sudah pasti mengecewakan barisan atlet para negara dan juga persatuan sukan kerana ia antara temasya sukan paling dinanti-nantikan mereka.

“MPM sentiasa menghormati keputusan Pesuruhjaya Sukan Filipina (PSC) dan Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PHILAPGOC) jika benar ia dibatalkan. Soal keselamatan serta kesihatan atlet dan pegawai kontinjen perlu diutamakan kerana nyawa setiap individu lebih bernilai daripada segala-galanya.

“Selaku penaung badan sukan Para di Malaysia, maka menjadi tanggungjawab MPM untuk menjaga kebajikan dan melindungi nyawa setiap atlet. Untuk itu, MPM akan mendapatkan maklum balas daripada APSF, selain cuba menghubungi wakil negara lain bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media Filipina melaporkan bahawa PSC membuat keputusan membatalkan semua acara sukan pada tahun ini, sekali gus menarik balik peruntukan yang disediakan, termasuk untuk penganjuran edisi ke-10 APG yang sepatutnya berlangsung pada 3 hingga 9 Oktober depan.

Presiden PHILAPGOC, Michael Barredo, dilaporkan berkata pihaknya akur dengan keputusan tersebut dan kemungkinan besar Filipina tidak akan menganjurkan temasya berkenaan kesan daripada penularan wabak COVID-19.

Pada 26 Mac lalu, Bernama melaporkan bahawa tarikh temasya sukan berkenaan mungkin disemak semula selepas Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 yang masing-masing dijadual pada Julai dan Ogos depan ditangguh ke 2021, kerana APSF hanya bersetuju untuk menganjurkan temasya itu selepas Sukan Paralimpik.

APG Filipina sepatutnya diadakan dari 18-24 Jan, tetapi ditangguhkan ke 20-28 Mac ekoran isu bajet dan logistik di pihak penganjur, sebelum ditangguhkan sekali lagi akibat wabak COVID-19.

-- BERNAMA