Timbalan Presiden, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), John Ng Keng Chuan, menegaskan pihaknya bersedia membantu meringankan beban atlet para negara, Krishna Kumar Haridas, ekoran masalah kesihatan yang dialaminya ketika ini.

Masih belum ada kenyataan rasmi berhubung penyakit yang dihidapi atlet berusia 29 tahun dari Alor Gajah, Melaka itu.

Namun, sebagai badan penting yang menjadi bumbung utama atlet para, Keng Chuan berkata MPM mengambil berat situasi Krishna Kumar.

"Sudah tentu MPM akan membantu atlet yang mengalami pelbagai masalah kesihatan. Kami akan merujuknya ke hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan perubatan.

"Kami akan membantu apa yang boleh sebab dia adalah atlet kebangsaan. Kami juga melihat mungkin YAKEB (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) juga akan tampil membantu. Sesetengah hospital kerajaan juga ada peruntukan untuk atlet-atlet negara," katanya.

Krishna Kumar mengalami kesakitan di bahagian perut dan pemeriksaan awal mendapati ada ketumbuhan yang dialaminya sejak awal tahun ini.

Prestasinya juga merudum dengan penyumbang tiga emas dalam Sukan Para ASEAN Singapura 2015 itu gagal mengekalkan prestasi yang sama di Kuala Lumpur, September lalu.

Bagaimanapun, Krishna Kumar masih berada dalam Program Podium.

"Saya pasti kami tidak akan meminggirkan atlet yang mengharumkan nama negara. Kami akan mencari jalan untuk membantu mereka dengan sedaya-upaya," tambahnya.