Jurulatih PRG Eagles, Britt Carlo Reroma, menganggap kemenangan besar 126-56 ke atas Penang Stallions dalam aksi Liga Pro Malaysia (MPL) sebagai persembahan terbaik yang pernah disaksikan.

Eagles turun berdepan Stallions dengan kemenangan bergaya bagi mengukuhkan lagi kedudukan mereka untuk memburu kedudukan empat teratas bagi beraksi dalam saingan play-off.

Bagaimanapun, mereka bermula perlahan dengan Stallions yang memberikan tentangan hebat terlebih dahulu dalam suku pertama.

Begitupun aksi kemas ditunjangi tonggak import dari Amerika Syarikat, Patrick Eliot Sanders-McClain, yang memperoleh 26 mata memastikan kemenangan kedua Eagles dalam tiga perlawanan.

“Selepas mengharungi tiga perlawanan, ini merupakan persembahan terbaik kami. Keputusan 126-56 adalah sesuatu yang amat membanggakan buat saya. Kami mahu mengekalkan momentum ini bagi memastikan tempat ke saingan play-off,” kata Reroma.

Bagi pengendali Stallions, Tan Chee Wan, kekalahan kepada Eagles sememangnya perit untuk diterima tetapi mengakui jurang ketara di antara kualiti membabitkan kedua-dua pasukan.

Keputusan ini menyaksikan Stallions masih kempunan untuk memburu kemenangan selepas tiga aksi yang diharungi.

Namun, Chee Wan percaya pasukan yang diperkuatkan dengan dua import dari Filipina, Dexter Zamora serta Jhapz Bautista, mampu bangkit semula selepas ini.

Ternyata kelibat tonggak ini amat diperlukan dengan Bautista memperoleh 12 mata, iaitu yang tertinggi buat Stallions.

“Kejohanan ini adalah untuk memberikan pengalaman kepada pemain-pemain Stallions yang berada dalam lingkungan usia 18 tahun. Misi kami adalah mendapatkan pemain-pemain terbaik untuk dipilih beraksi dalam Sukma 2018,” kata Chee Wan.