MotoGP: Dovizioso raih kemenangan di Sepang

Oleh Penulis Jemputan 29 Oktober 2017 11
MotoGP: Dovizioso raih kemenangan di Sepang
Kemenangan Andrea Dovizioso dalam saingan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan perebutan untuk bergelar juara musim ini masih lagi terbuka sehingga perlumbaan terakhir di Valencia, 12 November nanti.

Litar basah bukan masalah buat pelumba jentera Ducati, Dovizioso, apabila pelumba dari Itali itu berjaya mempertahankan kejuaraan yang diraih di Malaysia pada musim lalu.

Selaku pencabar terdekat buat Marc Marquez, Dovizioso tenang walaupun di bawah tekanan untuk memastikan kemenangan keenam peribadi bagi musim ini.

Pada awal perlumbaan, pemenang Rookie of the Year, Johann Zarco, mendahului saingan, namun dikejar rapat oleh Jorge Lorenzo serta diikuti oleh Dovizioso.

Dovizioso memastikan dia mengawal jentera dengan baik sepanjang perlumbaan di atas permukaan basah dan berjaya mendahului saingan pada baki lima pusingan terakhir.

Sementara itu, juara dunia tiga kali, Marquez, yang terpaksa memulakan perlumbaan di petak ketujuh, bergelut dan gagal mengatasi Zarco untuk akur mengakhiri saingan di kedudukan keempat, sekaligus terlepas peluang untuk berpesta awal.

Kemenangan Dovizioso ini membawa kepada perlumbaan penentuan di Litar Ricardo Tormo bagi menentukan siapa yang bakal muncul juara dunia musim ini.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen