Sungguhpun gembira dengan jumlah yang diperuntukan untuk sukan dalam Bajet 2017, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, meminta semua pihak agar telus dengan bajet sukan yang dibentangkan pada hari semalam agar tidak berlaku sebarang kes penyalahgunaan dana.

Daripada RM1.2 bilion yang diperuntukan kerajaan untuk pembangunan sukan tahun 2017, RM450 juta adalah untuk persediaan menghadapi temasya Sukan SEA dan Para ASEAN.

Namun, beliau menyeru agar semua pihak sukan tempatan membalas kepercayaan yang diberikan kerajaan.

Beng Choo menjelaskan, mesyuarat terbabit akan dibincangkan dengan lebih teliti membabitkan agihan dana RM450 juta dalam memastikan agenda nasional itu dapat dilaksanakan dengan jaya.

Ketirisan bukanlah satu isu lapuk kerana pada awal tahun ini, negara digemparkan dengan isu penyalahgunaan dana oleh pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang melibatkan jumlah hampir RM100 juta.

"Ini projek nasional. Jadi kita harus bersama-sama meletakkan fokus untuk memastikan ia bukan agenda peribadi. Sekiranya semua orang dapat berbuat demikian, maka dana itu dapat disalurkan dengan baik dan betul," jelas Beng Choo.

Justeru, satu mesyuarat akan diadakan pada 15 November depan membabitkan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), KBS serta MOM.

"Soal nombor satu ialah penginapan dan yang keduanya adalah pengangkutan.

"Soal ketiga membabitkan aspek teknikal di mana kita mesti memastikan bahawa peraturan dan semua aspek teknikal seperti peralatan serta semua venue adalah sesuai untuk menganjurkan sukan.

"Tiada kompromi mengenai soal standard," katanya lagi.