Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sedia mengubah pendirian membabitkan polisi membayar semula kos pembiayaan atlet ke temasya sukan, khususnya individu yang berjaya menyumbang pingat emas di bawah kategori B2.

Beberapa sukan yang tidak diletakkan sandaran muncul penyumbang kutipan emas buat kontinjen negara dalam Sukan SEA Filipina yang berakhir kelmarin.

Ia merujuk kepada Yeoh Li Tian daripada sukan catur dan Sam Lee Jack menerusi tarian "breakdance" yang hadir ke Manila dengan wang belanja sendiri.

Polisi asal MOM adalah perbelanjaan sukan daripada kategori A ditanggung sepenuhnya oleh badan induk itu manakala kategori B1 menyaksikan persatuan sukan mendahulukan wang mereka dan sekiranya berjaya meraih pingat, kos itu akan dibayar semula.

Bagi kategori B2, atlet perlu menyertai saingan atas perbelanjaan sendiri dan sebarang keputusan tidak akan mendapat sebarang pampasan semula daripada MOM.

Namun, kini badan induk itu sedang mempertimbangkan untuk membayar semula kepada sukan yang berjaya mencipta kejutan sebagai menghargai usaha mereka.

"Ada banyak perkara yang kami bincangkan tadi, terutama prestasi kelompok atlet kategori B2 yang telah berjaya. Namun, ia akan dibincang secara menyeluruh dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN)," kata Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Bagaimanapun, cadangan itu hanya akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MOM esok.

"Kami akan lihat bagaimana ia boleh dijadikan satu usaha ganti rugi walaupun mereka merupakan atlet kategori B2."