MOM perketat kriteria pemilihan atlet ke sukan bertemasya 

Oleh Penulis Jemputan 8 Oktober 2018 71
 MOM perketat kriteria pemilihan atlet ke sukan bertemasya 
Jawatankuasa Penilaian Bebas, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) belum mempunyai perincian terhadap kriteria yang menjadi panduan dalam proses pemilihan atlet untuk mewakili kontinjen negara ke temasya utama.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dr M. Jegathesan itu mengadakan mesyuarat pertamanya di Wisma MOM hari ini sambil dihadiri Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, di samping bekas atlet kebangsaan seperti Maninderjit Singh serta Nurul Huda Abdullah.

Begitupun, mesyuarat itu menjurus kepada pembentangan agenda yang perlu dilakukan oleh Jawatankuasa Penilaian Bebas, khususnya dalam pemilihan atlet dalam Sukan SEA di Filipina tahun hadapan.

Ahli jawatankuasa itu yang turut dianggotai bekas Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi, menjelaskan kriteria pemilihan yang dilakukan oleh MOM sejak 1983 lalu masih menjadi garis panduan, namun akan berlaku beberapa perubahan selaras dengan kehendak semasa.

"Kami mempunyai satu dasar yang perlu dipatuhi tetapi oleh kerana ia sudah diamalkan lebih 30 tahun, ramai yang sudah lupa tentangnya. 

"Kami sedang mengkajinya semula serta berhasrat mengubah suai dasar berkenaan memandangkan keadaan sekarang sudah berbeza," ujar Kok Chi.

Dalam pada itu, Kok Chi turut berpandangan pemilihan atlet untuk mewakili negara kemungkinan akan lebih diperketatkan, terutama bagi temasya di peringkat tertinggi di samping had kelayakan yang perlu dilepasi.

Untuk rekod, jawatankuasa itu ditubuhkan untuk menilai semula Prosedur Operasi Standard (SOP) pemilihan atlet supaya hanya mereka yang benar-benar layak mewakili negara akan dipilih.

"Kami ada mengubah suai sedikit pendekatan SOP itu tetapi kami sedang mengkajinya semula kerana terdapat beberapa jenis sukan yang gagal mencapai tahap sebenar dalam Sukan Asia Jakarta, berbeza dengan Sukan SEA Kuala Lumpur. 

"Jadi, keutamaan sekarang ini, pada pandangan saya, adalah kempen Sukan SEA di Filipina," katanya. 

Dalam perkembangan berasingan, ADAMAS masih menunggu keputusan lengkap ujian sampel membabitkan atlet yang mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak, bulan lalu.

Menurut pengarahnya, Dr Ramlan, sehingga kini hanya 20 peratus daripada sampel berkenaan telah diuji dengan kesemua keputusan adalah negatif.

Begitupun, beliau berpandangan tiada keputusan luar jangkaan akan terhasil daripada baki 80 peratus sampel berkenaan walaupun ujian saringan pra-pertandingan menyaksikan seorang atlet angkat berat positif menggunakan bahan terlarang.

"Keputusan ujian anti-doping pra-Sukan SEA sudah diketuai dan ADAMAS kini menanti baki 80 peratus yang dijalankan. 

"Saya harap keputusannya akan diketahui hujung minggu ini atau pada minggu depan. 

"Ia bergantung kepada makmal sekiranya ujian khas perlu dilakukan," kata Dr Ramlan. 

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen