Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menjalankan kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), untuk memastikan atlet layak Sukan Olimpik Tokyo diberikan suntikan vaksin Covid-19.

Ia susulan perancangan Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk atlet, jurulatih dan pegawai yang bertandang ke Tokyo nanti, mempunyai risiko jangkitan yang rendah.

Perkara itu antara tajuk utama akan dibincangkan dalam mesyuarat Chef De Mission 9 Februari ini, di mana Malaysia akan diwakili Datuk Lee Chong Wei.

"Kami telah berhubung dengan pihak MOSTI serta Majlis Kesihatan Negara (MKN) dalam memastikan atlet-atlet negara dapat diberikan vaksin bagi memastikan mereka dapat ke Tokyo untuk bersaing di pentas Sukan Olimpik," kata Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.