Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meminta 39 persatuan sukan kebangsaan menggunakan dana bantuan sebaik mungkin termasuk untuk menganjurkan kejohanan dalaman.

MOM menyalurkan dana RM300,000, bulan lalu bagi meringankan beban dihadapi ketika pandemik Covid-19.

Persatuan sukan kebangsaan perlu bijak mengutamakan dana bantuan kedua yang disalurkan MOM, selain menampung kos operasi, persatuan boleh menggunakan dana terbabit untuk menganjurkan kejohanan dalaman dengan bajet minimum.

Ia seperti yang dilakukan beberapa persatuan seperti badminton, olahraga dan memanah.

"Pertandingan berskala kecil perlu dianjurkan oleh persatuan sukan bagi memastikan mereka masih lagi aktif dan bersedia menghadapi kejohanan," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

"Kita semua perlu bersedia apabila tibanya saingan bertaraf antarabangsa tahun hadapan."

Ini bantuan kedua disalurkan MOM selepas RM300,000 disalurkan April lalu.

Setiap persatuan sukan kebangsaan menerima lebih RM21,000 sementara ahli bersekutu MOM RM10,000.