Majlis Olimpik Malaysia (MOM) belum dapat mengiktiraf penubuhan Persekutuan Luncur Ais Malaysia (MISF) sebagai badan induk baru sukan berkenaan.

Sukan luncur ais negara dilanda kemelut berikutan pembatalan pendaftaran Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) berkuat kuasa 1 November lalu.

Ketika ISAM kecewa tidak diberi ruang untuk membela diri, tampil satu kenyataan di laman sosial semalam oleh MISF yang mendakwa mereka kini diberikan hak selaku badan induk yang baru.

MISF ditubuhkan pada 26 Disember lalu dan dijangka bakal diterajui bekas presiden ISAM, Laila Parimalar Abdullah.

Mereka juga bakal mengadakan satu pertemuan bersama pihak yang terbabit dengan sukan luncur ais negara pada 12 Januari ini.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, bagaimanapun, memberi pengesahan masih belum menerima sebarang maklum balas daripada PJS mengenai permohonan MISF itu.

"MOM masih belum menerima sebarang permohonan dan (kami) akan mengikut setiap langkah yang ditetapkan oleh PJS sebelum mengiktiraf MISF," kata Nazifuddin.

Berdasarkan situasi itu, status ISAM tidak lagi aktif selaku ahli di bawah naungan MOM yang turut akan menjejaskan atlet negara untuk kejohanan antarabangsa.

Begitupun, Nazifuddin memberi jaminan pihaknya akan membantu atlet yang terlibat sehingga kemelut ini dapat diselesaikan.

"Kami akan memastikan setiap atlet dapat bertanding dalam mana-mana kejohanan di bawah MOM. Kami berharap isu yang melibatkan ISAM ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik."