Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, memberi bayangan jumlah atlet negara ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 adalah antara yang terbesar dengan kualiti menjadi keutamaan.

Setakat ini, Malaysia sudah mempunyai 98 slot penyertaan dengan kontinjen negara akan diketuai Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How.

Jumlah itu akan bertambah dengan beberapa lagi acara berpasukan masih belum dimuktamadkan penyertaan mereka seperti bola keranjang wanita, ragbi tujuh sepasukan lelaki serta hoki lelaki dan wanita.

Untuk rekod, penyertaan terbesar kontinjen negara ialah di New Delhi pada 2010 dengan membabitkan 201 atlet.

"Kami akan mengetahui jumlah muktamad pada bulan depan, kami berharap sukan yang bakal dipertandingkan dalam Sukan Komanwel dapat dimuktamadkan," kata Beng Choo.

Di sebalik penyenaraian kontinjen terbesar ke Sukan Komanwel tahun hadapan, Beng Choo menegaskan masih terlalu awal untuk meletakkan sebarang sasaran.

Pada edisi 2014 di Glasgow, Malaysia berjaya meraih enam emas, tujuh perak serta enam gangsa.

Pencapaian terbaik yang dilakar di luar Kuala Lumpur adalah empat tahun sebelumnya pada 2010 dengan kutipan 12 emas, 10 perak dan 14 gangsa.

"Saya menjangkakan setiap atlet yang bakal beraksi di Gold Coast akan memberikan yang terbaik tetapi tidak mengharapkan berjaya meraih pingat kerana mereka bakal beraksi di pentas yang lebih tinggi," tambahnya.