MOM harap persatuan sukan manfaat peluang di bawah Inisiatif Prihatin Sukan 2020

Oleh Bernama 17 Jun 2020 29
MOM harap persatuan sukan manfaat peluang di bawah Inisiatif Prihatin Sukan 2020
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berharap persatuan sukan kebangsaan memanfaatkan dana peruntukan RM2 juta untuk memperkasa pentadbiran persatuan, begitu juga RM3 juta digunakan ke arah pendigitalan pengurusan dan aktiviti persatuan.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, menggesa agar persatuan kebangsaan atau sukan di peringkat akar umbi memanfaat sebaiknya pakej rangsangan itu supaya mereka dapat menjalankan aktiviti sukan pada masa sama mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Peruntukan ini menunjukkan keprihatinan dan komitmen kerajaan terhadap pemegang taruh dalam industri sukan. Kami yakin peruntukan ini dapat membantu menghidupkan semula industri sukan negara.

“Bagi pihak MOM dan ahli gabungan, saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican atas inisiatif ini dan berharap kerjasama rapat berterusan demi kepentingan semua terlibat dalam sukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan hari ini mengumumkan peruntukan RM10 juta menerusi Inisiatif Prihatian Sukan 2020 bagimembantu persatuan sukan kebangsaan yang terkesan berikutan penularan COVID-19.

Dana berkenaan dibahagi kepada tiga kategori iaitu RM2 juta sebagai bantuan pengurusan kepada persatuan sukan kebangsaan, RM5 juta untuk menjalankan program dan aktiviti persatuan sukan manakala baki RM3 juta untuk program pendigitalan serta projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) persatuan.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen