Isu penyertaan Kejohanan Kelayakan Olimpik melibatkan ekuin negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil, tidak lagi sekadar isu sukan ketika Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tetap meneruskan usaha bagi membantu misi atlet kebangsaan itu layak ke Tokyo 2020.

Sebelum ini, Nadi Arena melaporkan jaguh ekuestrian negara, Qabil Ambak, ingin campur tangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mempercepatkan proses pembaharuan visanya untuk menyertai enam kejohanan di Eropah sebelum melayakkan diri ke Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, MOM menjelaskan segala usaha sedang dijalankan sejak September lalu tetapi kemelut itu bukan sekadar isu sukan.

"Dia telah berada di Denmark melebihi tempoh yang dibenarkan dan dalam mana-mana negara Eropah, perkara sebegini agak serius. Jadi, ia adalah isu imigresen," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Mohd Najib.

"Kami sedar tentang isu ini sejak September lalu dan telah menulis surat kepada Kedutaan Denmark di Malaysia bagi mendapatkan bantuan untuk membolehkan Qabil Ambak kembali beraksi dalam kejohanan di sana."

MOM juga sudah cuba menghubungi kerajaan Denmark sejak bulan lalu tetapi masih tidak mendapat sebarang maklum balas.

Qabil Ambak menjelaskan kesilapan itu berlaku tanpa disengajakan selepas pihak imigresen Denmark membenarkannya memasuki negara itu walaupun telah melebihi tempoh 90 hari yang dibenarkan.