MOM gesa SEAGF lebih telus tapis acara sukan

Oleh Penulis Jemputan 14 Disember 2019 191
MOM gesa SEAGF lebih telus tapis acara sukan
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mendesak Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) mengurangkan sukan kategori 3 untuk penganjuran Vietnam 2021 sebagai salah satu cara menaikkan semula status temasya itu menjadi saingan yang lebih  berkualiti.

Kategori 3 merujuk kepada sukan tidak popular dan tidak dipertandingkan dalam temasya lebih tinggi seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Bagaimanapun, tuan rumah seringkali menggunakan kesempatan untuk menyenaraikan sukan sebegitu sebagai batu loncatan memberi kelebihan dalam pungutan pingat emas seperti yang berlaku di Filipina.

MOM berharap Jawatankuasa Pengajuran Sukan SEA Vietnam 2021 dapat mengurangkan jumlah sukan berkenaan bagi membuka semula ruang persaingan merebut juara keseluruhan antara negara bertanding.

"Untuk kami katakan kepada mereka, cukuplah dengan sukan yang hanya meletakkan kelebihan yang terlalu tidak seimbang kepada kontinjen lain. Kami harus fokus kepada sukan yang boleh membawa peringkat Asia Tenggara ke tahap lebih tinggi," kata Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Dalam masa sama, kegagalan kontinjen Malaysia di Filipina baru-baru ini akan melalui satu proses bedah siasat yang akan dijalankan dalam masa terdekat bagi mencari punca Malaysia gagal mencapai 70 emas seperti disasarkan.

Persatuan sukan yang gagal mencapai sasaran ditetapkan berkemungkinan berdepan risiko untuk menghadapi pengurangan agihan bajet daripada pihak Majlis Sukan Negara (MSN).

"Bagilah kami masa untuk lakukan kajian dan perbincangan semula," Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen