MOM-Dentsu Sports Asia meterai perjanjian babitkan kejohanan utama

Oleh Shaiful Shamsudin 18 November 2016 0
 MOM-Dentsu Sports Asia meterai perjanjian babitkan kejohanan utama
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memeterai perjanjian dengan Dentsu Sports Asia yang bertanggungjawab menguruskan hal pemasaran serta penajaan membabitkan kejohanan besar bagi tempoh empat tahun. 

Bagi meluaskan lagi skop tajaan untuk kejohanan besar di bawah kendalian MOM, kerjasama itu dianggap langkah baik demi kepentingan kedua-dua belah pihak. 

Walaupun tiada sebarang sasaran khusus dalam tempoh yang diperlukan, Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar, menganggap keputusan itu sebagai strategi terbaik apabila ia melibatkan Dentsu yang sememangnya diperakui kredibiliti mereka. 

"Kami baru menandatangani perjanjian ini. 

"Ketika ini, kami sedang bekerjasama untuk meluaskan faedah yang kami boleh manfaatkan selain memberi nilai penajaan kepada penaja," katanya. 

Jaminan Dentsu itu turut melibatkan penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur tahun hadapan, Sukan Asia di Jakarta dan kemuncaknya, Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

"Kami telah banyak mencapai kejayaan dalam penglibatan kami di Sukan SEA dan kejohanan bola sepak rantau ini. 

"Saya berpendapat dalam tempoh empat tahun ini, Asia Tenggara mempunyai potensi yang besar," kataPresiden Dentsu Sport Asia, Kunihito Morimura. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen