Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi kelonggaran buat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melanjutkan tempoh menghantar senarai atlet masing-masing ke Sukan SEA Filipina apabila mempunyai saingan kelayakan terakhir.

Kesemua persatuan sepatutnya menghantar senarai muktamad atlet semalam, namun kelonggaran diberikan kepada KOM yang menganjurkan Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia hujung minggu ini dan FAM masih menanti prestasi skuad bola sepak wanita di pentas Piala AFF yang berakhir 27 Ogos ini.

Di samping itu, Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA) pula menarik diri kerana kekangan kos sementara status sukan seperti jiu-jitsu, soft tennis serta kanu dan kayak masih dalam pertimbangan.

"Sukan dalam kategori A adalah prospek pingat di Manila dan hampir kesemua persatuan yang terlibat telah menghantar senarai terakhir atlet yang bakal mengambil bahagian," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Mohd Najib.

Tiga sukan, iaitu hoki ais, luncur ais dan petanque pula akan bersaing di Filipina di bawah naungan MOM setelah persatuan masing-masing mengalami konflik dalaman.

Biarpun sudah mendapat gambaran kasar atlet yang akan bersaing nanti, MOM masih belum dapat memutuskan jumlah sasaran pingat yang ingin dicapai.

"Luncur ais dan hoki ais sah akan mengambil bahagian. Kami masih lagi berbincang dalam urusan membawa atlet petanque beraksi dalam Sukan SEA kali ini," tambahnya.