Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berdepan tugas sukar untuk memperjuangkan nasib 11 sukan ke Vietnam, tahun depan dengan hanya rayuan daripada boling tenpin diterima dalam mesyuarat Persekutuan Sukan SEA semalam.

Tuan rumah, Vietnam bertegas sedia menganjurkan maksimum 40 jenis sukan bagi saingan Sukan SEA tahun depan. Ini bermakna, hanya empat jenis sukan boleh ditambah dalam senarai sedia awal yang diputuskan Julai lalu.

Apa yang mengecewakan, keempat-empat sukan itu sudahpun berada dalam perancangan Vietnam iaitu jujitsu, triathlon, e-sukan dan boling tenpin ketika dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Sukan dan Peraturan SGF. Keputusan muktamad akan dibuat dalam mesyuarat majlis SGF, hari ini.