Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyarankan setiap atlet agar bersikap lebih terbuka dalam mengendalikan sebarang masalah atau kesulitan yang dialami bagi mengelak kerjaya mereka terjejas.

Perkara itu adalah antara agenda utama dalam forum dan bengkel membabitkan atlet anjuran MOM yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Wisma MOM di ibu negara.

Inisiatif yang dibawa oleh Suruhanjaya Atlet MOM itu bertujuan memastikan atlet tidak sentiasa dibelenggu dengan masalah, sama ada daripada segi peribadi mahupun karier.

Selain itu, mereka juga didedahkan dengan bagaimana untuk lebih bersedia selepas karier mereka sebagai atlet berakhir.

“Suara atlet sangat mustahak dan perlu diberikan tumpuan. Setiap atlet memiliki pandangan yang berbeza,” jelas Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Atlet MOM, Noraseela Khalid, berpandangan masih ada segelintir atlet yang tidak pasti hala tuju masing-masing selepas karier mereka berakhir.

“Saya berpendapat, keperluan untuk memikirkan mengenai kerjaya, selepas atlet membuat keputusan untuk bersara. Ia (perancangan) perlu dilakukan lebih awal dan terdapat beberapa atlet sudah memikirkan mengenainya,” jelas Noraseela.

Bagi ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas, pendedahan atlet kepada forum serta bengkel seperti ini dapat memberikan peluang kepada mereka untuk mengetahui bagaimana menjadi seorang atlet yang lebih profesional.

“Kita beranggapan semua atlet sudah mengetahui perkara ini. Dengan adanya platform ini, ia akan dapat membantu atlet menambah lagi pengalaman serta menjadikan mereka lebih profesional,” kata Zainal.