Mohammad Fuad juara kuda lasak Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu 2016

Oleh Ammar Hakim 9 Oktober 2016 30
Mohammad Fuad juara kuda lasak Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu 2016

Penunggang State of Terengganu Endurance Team (STET), Mohammad Fuad Hashim, muncul juara kategori individu Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu, di Terengganu International Endurance Park (TIEP).

Fuad, 26, menamatkan perlumbaan sejauh 80km itu dalam masa 4 jam 1 minit 38 saat dengan purata kelajuan 19.87km/j, sekali gus membawa pulang RM10,000 berserta piala pusingan, piala iringan dan medal.

Gelaran naib juara yang memenangi RM7,500 dan medal menjadi milik penunggang Royal Terengganu Endurance Stable (RTES), Asri Abd Aziz, yang mencatat 4:06:50 dengan purata kelajuan 19.45km/j.

Mohd Suhairi Ramly dari STET terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan masa 4:06:53 dan purata kelajuan 19.44km/j untuk memenangi RM5,000 berserta medal.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, pula menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam dengan catatan masa 4:57:34 dan purata kelajuan 16.13km/j.

Kategori berpasukan turut menyaksikan penguasaan STET yang dibarisi Mohd Fuad, Mohd Suhairi, Ahmad Faisal Ahmad Fanizar dan Mohd Adhwa Embong untuk muncul juara.

RTES yang diwakili Sultan Mizan, Asri Abd Aziz, Mohd Hisyamuddin Daud dan Hairie Alias menyusul di tempat kedua.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, berkenan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kejohanan edisi sulung itu sambil diirigi Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen