Mitsuki, Iman Shuhadah juara berganda di Perak

Oleh Azizan Hashim 11 November 2018 243
Mitsuki, Iman Shuhadah juara berganda di Perak
Peserta tuan rumah, Mitsuki Leong, menghadiahkan peminat tenis Perak dengan kemenangan berganda apabila muncul juara acara perseorangan dan beregu kategori lelaki bawah 16 tahun dalam Kejohanan Tenis Remaja Jelajah Malaysia 2018 Sirkit Ke-8  di Arena Tenis Perak, Ipoh, hari ini. 

Mitsuki, 14 tahun, menewaskan lawan lebih tua serta pilihan utama, Chaiyaward Pettani dari Perlis, 6-2, 6-3.

Mitsuki akan mengikuti pasukan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF)  mewakili Asia ke pertandingan Edddie Herr dan Orange Bowl Super Junior Tournament di Florida, Amerika Syarikat pada 19 November ini. 

Kedua-dua pemain kemudian berganding tenaga untuk muncul juara acara beregu menumpaskan Zhafree Sidek/Shaqil Woodhull (SEL)  6-1, 6-2. 

Dalam acara perempuan B-16, pemain dari Negeri Sembilan, Iman Shuhadah Abdullah, turut menggondol dua kejuaraan, iaitu perseorangan dan beregu.

Iman Shuhadah, 14, yang juga merupakan pemain pelapis kebangsaan, menundukkan lawannya, Chloe Chong dari Selangor, 6-1, 6-3.

Mereka kemudian berpadu tenaga untuk mudah mengatasi Lau Jie Ying/Gemma Goh (KL)  6-1, 6-2 dalam acara beregu. 

Kejohanan selama empat hari itu menarik seramai 230 peserta dari seluruh negara. Ia turut menawarkan sebanyak 18 kategori dari umur 8, 10, 12, 14 dan 16 tahun ke bawah untuk lelaki dan perempuan bagi acara perseorangan dan beregu.

Kejohanan Tennis Malaysia Junior Tour 2018 diadakan sebanyak lapan sirkit kesemuanya dan sirkit di Perak ini menjadi sirkit terakhir untuk tahun ini. 

Ramai peserta mengambil kesempatan ini dalam memastikan tambahan mata ranking untuk menentukan kedudukan mereka dalam Kejohanan Tenis Masters Malaysia 2018 pada 19-23  November ini.

Hanya pemain  yang berkedudukan lapan terbaik dalam ranking Junior Tour dalam setiap kategori (10 kategori) akan dipilih untuk menyertainya. Kategori terbuka lelaki dan perempuan akan turut dipertandingkan.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen