Jurulatih berpengalaman, Dhaarma Raj Abdullah, mempunyai misi wajib menang menjelang kejohanan pertamanya sejak memegang jawatan sebagai pengendali skuad hoki dalam dewan wanita negara, iaitu Kejohanan Jemputan Piala Tuanku Zara, yang akan bermula penghujung bulan ini.

Ia bakal menjadi ujian pertama Dhaarma yang dilantik pada saat-saat akhir menggantikan Yahya Atan awal bulan ini.

Dhaarma sebelum ini secara terang-terangan mengakui tidak mempunyai kemahiran yang tinggi untuk mengendalikan hoki dalam dewan.

Namun, ia bukan alasan setelah Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) meletakkan sasaran untuk menyapu bersih dua pingat emas Sukan SEA Filipina bulan depan, dengan salah satunya harus hadir menerusi acara wanita.

Saingan di Kuala Kangsar itu bakal menyaksikan Malaysia akan bersaing dengan empat lagi pasukan, Filipina, Uzbekistan, Taiwan dan Nepal.

"Berdasarkan kemampuan pasukan yang bakal menyertai kejohanan kali ini, kami mungkin boleh menang dengan mudah, namun Filipina bakal dibarisi beberapa pemain naturalisasi sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA," katanya.

Dalam masa sama, Dhaarma masih menimbang untuk menggunakan beberapa tonggak hoki padang yang kini sedang berkhidmat di luar negara seperti penjaga gol, Farah Ayuni Yahya serta Nur Amirah Shakirah Zulkifli, namun ia bergantung kepada prestasi mereka sebaik melaporkan diri minggu depan.

"Beberapa tonggak utama negara akan pulang ke Malaysia selepas berkhidmat di Jerman. Saya akan menilai mutu persembahan mereka sebelum disertakan ke dalam pasukan hoki dalam dewan ini."