Penggempur Barcelona, Lionel Messi, dan pelumba Formula One, Lewis Hamilton, muncul pemenang anugerah Atlet Terbaik Tahunan Laureus bersama, semalam.

Messi dan Hamilton berkongsi jumlah undian yang dibuat oleh bekas legenda-legenda dunia sukan yang merupakan ahli-ahli Akademi Laureus.

Bintang Argentina, Messi, menjadi inspirasi utama Barca untuk meraih kejuaraan LaLiga ke-26 dengan 36 gol dalam 34 penampilan, di mana ia membolehkannya meraih anugerah Ballon d'Or buat kali keenam.

Pelumba Mercedes, Hamilton, dinobatkan selaku juara dunia Formula One buat kali keenam tahun lalu, meletakkannya di tangga kedua dalam senarai pemenang terbanyak di belakang Michael Schumacher.

Hamilton berada di Berlin untuk menerima anugerah itu sambil Messi menghantarkan mesej melalui video.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Akademi kerana memberikan penghargaan ini. Ia sangat penting dan istimewa," kata Messi.

"Saya berbesar hati untuk menjadi individu pertama daripada sukan berpasukan memenangi anugerah ini. Terima kasih banyak-banyak.

"Bagi saya, ia satu penghargaan besar untuk menjadi sebahagian daripada anugerah ini dan muncul individu pertama daripada sukan berpasukan yang menerimanya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan, keluarga dan peminat yang menyokong. Terima kasih kepada mereka yang mewujudkan anugerah ini."

Kedua-dua atlet itu meraih undian lebih tinggi berbanding pencabar lain seperti Rafael Nadal, Marc Marquez, Tiger Woods dan Eliud Kipchoge.

Gimnas Amerika Syarikat, Simone Biles, dinamakan selaku Atlet Wanita terbaik Tahunan Laureus selepas mencipta sejarah dalam Kejohanan Dunia dan membantu negaranya meraih kejuaraan berpasukan yang kelima.

Atlet ski paralimpik Ukraine, Oksana Masters, muncul pemenang Atlet Kurang Upaya Terbaik Tahunan sambil skuad ragbi lelaki Afrika Selatan yang menjulang trofi Piala Dunia 2019 dipilih selaku Pasukan Terbaik Tahunan.



Editor: Nafis Abdullah