Tanpa diduga, penyertaan sulung Mohd Sadam Mohd Pittli dalam cabaran lasak Spartan Race membawa kenangan tersendiri apabila dia menjuarai saingan elit.

Spartan Race tahun ini menampilkan "edisi beast" di mana lebih daripada 30 halangan lasak menanti peserta sepanjang 20 kilometer perlumbaan.

Berlangsung di Taman Rimba Alam, Putrajaya, saingan elit dilepaskan pada jam 7.30 pagi.

Meskipun hanya menjalani persiapan yang sederhana, ia tidak menghalang Mohd Sadam untuk menamatkan cabaran ini selaku juara dengan catatan 2 jam 10 minit.

"Saya sebenarnya atlet lari jarak jauh tetapi saya sekadar mencuba acara ini.

"Sebenarnya, dari segi persiapan khusus, memang tiada. Saya hanya berlatih ketahanan. Saya berlari satu setengah jam macam itu sahaja," katanya.

Tempat kedua menjadi milik peserta Slovakia, Macrel Cakuari.

Jelasnya, halangan kali ini paling mencabar pernah diharungi sepanjang dua tahun terlibat dalam sukan lasak ini dan persiapan terbaik untuk menghadapi saingan seterusnya di Hungary, dua minggu lagi.

"Saya amat menikmati saingan kali ini. Cuaca panas menambahkan kesukaran kepada saya untuk melengkapkannya dan saya kini bersedia untuk cabaran seterusnya di Hungary," jelasnya.

Sementara itu, jurulatih Mohd Sadam yang juga atlet lari jarak jauh, Heidilee Mohammad, meraih tempat ketiga.

Ini juga pelengkap kempen buat atlet kelahiran Sabah ini selepas memenangi cabaran Spartan Race Super, Mac lalu.

"Saya gembira dengan kemenangan Sadam. Saya juga berpuas hati dapat menduduki kelompok tiga terbaik."