Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sedang menjalankan siasatan dan mengumpul bukti untuk jaguh negara, Hafifi Mansor, mencabar sampel B selepas dikesan positif bahan terlarang jenis oxymetholone ketika menyertai Terbuka Australia, Mac lalu.

Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) mengumumkan Hafifi positif dadah sintetik sebagai ejen steroid.

Kes membabitkan Hafifi ini menjadi tamparan hebat buat PABM kerana dia merupakan harapan utama Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

PABM sudah bertemu Hafifi dan juara Sukan Komanwel 2014 itu menafikan dia ada mengambil bahan terlarang.

"Dia memberitahu tidak melakukannya. Bahan terlarang itu berbentuk pil dan kita tahu sahajalah, ia boleh dibubuh (dalam makanan atau minuman).

"Saya harap hasil sampel B nanti, wujud kemungkinan lain yang boleh membantunya," kata Setiausaha Kehormat PABM, Abu Hanapah Ismail.

Isu itu menjadi tamparan hebat terhadap sukan Malaysia kerana masih lagi dikejutkan dengan kes doping seorang penerjun negara.

Sementara itu, Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) sedang menunggu maklum balas IWF berhubung persoalan kelewatan badan itu mengeluarkan keputusan ujian doping.

Pada kebiasaannya, keputusan doping hanya mengambil masa sebulan untuk dikeluarkan, namun kes ini membabitkan tempoh tujuh bulan.

"Kebiasaannya, keputusan doping boleh diketahui dalam tempoh 48 jam atau 10 hari.

"Kalau tertangguh pun dalam masa sebulan sahaja.

"Justeru, kami agak terkejut mengapa ia memerlukan sehingga tujuh bulan untuk mengetahui pengumuman ini," kata Penolong Pengarah ADAMAS, Nishel Kumar.



Sementara itu, tinjauan Nadi Arena mendapati tiada kelibat Hafifi dalam sesi latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Semestinya kelibat atlet berusia 27 tahun itu menjadi tumpuan, lebih-lebih lagi dia dalam rangka persiapan untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat, hujung bulan depan.

Ketua jurulatih angkat berat negara, Stefan Stefanov, pula enggan memberikan sebba berhubung ketiadaan anak buahnya itu apabila enggan ditemuramah.

Begitupun, sesi latihan membabitkan atlet angkat berat yang lain tetap berjalan seperti biasa namun tampak keberatan untuk memberikan sebarang reaksi.