Penembak negara, Ong Chee Kheng, berharap agar tidak lagi dibebani perbelanjaan sendiri selepas membantu skuad menembak negara merangkul pingat perak dan gangsa dalam Sukan SEA Filipina yang berakhir semalam.

Dia antara atlet negara yang menggeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menyertai temasya itu kerana diletakkan dalam kategori B1.

Perbelanjaan melebihi RM10,000 terpaksa dikeluarkan untuk menyertai temasya itu, temasuk tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Manila.

Bagaimanapun, pengorbanannnya itu tetap berbaloi apabila meraih pingat perak dalam acara trap berpasukan dan gangsa dalam trap individu.

"Perbelanjaan keseluruhan mungkin melebihi RM10,000.

"Saya perlu berterima kasih kepada keluarga saya kerana mereka banyak membantu," katanya.

Kos pembiayaan atlet kategori B1 akan dikembalikan jika meraih emas atau perak dan atlet yang meraih pingat gangsa pula akan menerima 50 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan.

Untuk rekod, Chee Kheng melakukan penampilan pertama dalam edisi di Jakarta pada 1997 dan turut mengambil bahagian dalam edisi di Kuala Lumpur pada 2001.

Seorang lagi penembak negara, Bernard Yeoh, pula enggan berputus asa untuk terus beraksi dalam Sukan SEA walaupun gagal mempertahankan pingat perak yang diraih di laman sendiri dua tahun lalu.

"Sukan SEA pertama saya ialah di Veitnam pada 2003.

"Pada waktu itu, penyertaan saya dibatalkan kerana masalah.

"Edisi depan juga akan kembali ke Vietnam.

"Amat baik untuk kembali ke sana dan memenangi beberapa pingat kerana 16 tahun lalu,penyertaan saya dibatalkan," katanya.