Penembak negara, Benjamin Khor, sanggup menempuh perjalanan lebih 300km untuk berlatih di Johor Bahru sejak Jun lalu dalam misi mempertahankan gelaran Kejohanan Menembak Asia 2018 di Thailand, bulan depan.

Benjamin adalah antara penembak negara yang menerima kesan buruk ekoran penutupan Lapang Sasar Subang.

Penembak berusia 25 tahun itu terpaksa mencari venue latihan yang diiktiraf Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) yang di Johor dan Pulau Pinang.

Dia tiada pilihan kecuali terpaksa memandu lebih 300km hanya untuk berlatih bagi mencapai sasaran utama layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Misi terdekatnya ialah mempertahankan kejuaraan sporting clays shotgun dalam Kejohanan Asia di Thailand, bulan depan.

"Peruntukan agak sukar dan saya terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri. Begitu juga dengan penembak yang lain.

"Ini pengorbanan saya, saya sanggup melakukannya. Oleh kerana Lapang Sasar Subang sudah ditutup selama tiga bulan, saya berharap Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) dapat menyelesaikan perkara ini secepat mungkin agar membolehkan atlet menembak negara kembali menyambung latihan," katanya.