Barisan pemanah compound negara percaya program latihan yang diharungi ketika ini memadai untuk membantu mereka mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Bandaraya Mexico, bermula Ahad ini.

Walaupun belum mengetahui perancangan selepas tamatnya Sukan SEA 2017, pemanah negara tetap berlatih untuk mengekalkan prestasi bagi menghadapi Kejohanan Dunia.

Ketika skuad recurve lelaki negara menjalani latihan di Korea Selatan, pemanah compound berlatih di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, berdasarkan waktu yang telah diaturkan oleh mereka sendiri.

Bagi atlet memanah negara, Zulfadhli Ruslan, situasi itu langsung tidak menjejaskan tumpuan mereka untuk menyetai Kejohanan Dunia buat pertama kali.

“Sama sahaja dari segi latihan ketika Sukan SEA sehingga persiapan untuk ke Kejohanan Dunia. Kami menjalani latihan pada waktu pagi dan petang sebelum menyambung di gimnasium.

"Tidak ada tambahan apa-apa, cuma dalam Kejohanan Dunia kami memerlukan satu prestasi yang lebih tinggi daripada apa yang kami lakukan ketika Sukan SEA,” kata Zulfadhli.

Selain Zulfadhli, turut membawa cabaran dalam saingan compound lelaki di Bandaraya Mexico adalah Juwaidi Mazuki serta Lee Kin Lip, sekaligus menyaksikan kali pertama Malaysia mempunyai wakil dalam kedua-dua bahagian lelaki serta wanita untuk saingan recurve dan compound dalam Kejohanan Dunia.

“Selepas Sukan SEA, kami menghadapi satu kejohanan tempatan baru-baru ini dan ternyata kami dapat bertahan walaupun tidak berapa bersedia. Jadi, untuk Kejohanan Dunia, kami telah melakukan persiapan yang terbaik dan mengharapkan aksi terbaik dapat ditampilkan,” ujar Juwaidi.