Pemanah recurve para negara, S. Suresh, lega apabila Majlis Sukan Negara (MSN) dikhabarkan akan mula menghantar peralatan sukan kepada atlet bagi membantu mereka menjalani latihan di rumah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagi membantu atlet negara untuk terus berada di tahap terbaik, MSN merancang untuk menghantar peralatan sukan ke rumah atlet.

Inisiatif itu dikhususkan buat atlet yang akan bersaing dalam Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo tahun depan.

Suresh berharap peralatan itu mampu tiba secepat mungkin memandangkan peralatan yang diperlukannya amat minimum.

"Bagi saya, ia memang satu idea yang bagus kerana kami sudah tidak tahu hendak buat apa di rumah.

"Kami sudah ikut program yang disediakan jurulatih, jadi jika kami ada peralatan yang diperlukan, ia agak bagus kerana kami dapat mengekalkan kemahiran kami.

"Saya hanya memerlukan busur, anak panah dan sasaran untuk berlatih, itu sahaja.

"Memandangkan saya tidak boleh keluar rumah, saya boleh berlatih di halaman rumah," katanya.