Pemanah recurve para negara, Hasihin Sanawi, menganggap dirinya masih relevan dalam skuad kebangsaan dan mahu membuktikan keupayaannya untuk layak ke Sukan Paralimpik dalam tiga edisi berturut-turut di Tokyo, Ogos depan.

Pemenang pingat perak Sukan Paralimpik London 2012 itu mengalami kemerosotan prestasi sejak kebelakangan ini.

Lantaran itu, dia mengakui hanya ada satu cara untuk memembuktikan keupayaannya, iaitu dengan meraih pingat emas sulungnya dalam Sukan Para ASEAN di Filipina, Mac ini.

Jika berjaya, ia akan meningkatkan semangatnya untuk merebut slot ke Tokyo dalam kejohanan kelayakan di Republik Czech, Jun depan.

"Segala perancangan dalam keadaan baik, jadi Insya-Allah, saya akan membutirkan pingat emas di Filipina.

"Ia merupakan penampilan kelima saya dalam Sukan Para ASEAN, jadi saya mengidamkan pingat emas di sana," katanya.

Setakat ini, hanya S. Suresh (recurve) dan Wiro Julin (compound) sudah mengesahkan tiket ke temasya terbesar itu.

Dalam edisi empat tahun lalu, Hasihin sekadar menamatkan saingan dalam pusingan pertama.

"Dalam sukan memanah, tidak semestinya hari ini kita juara, esok akan jadi juara juga.

"Ia persaingan terbuka.

"Tidak kira siapa di ranking teratas atau terbawah, sesiapa yang melakukan yang terbaik akan mendapat pencapaian terbaik," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa