Skuad memanah recurve wanita negara yang diketuai Nur Aliya Ghapar berpeluang cerah untuk menamatkan penantian lapan tahun ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila mencabar Kejohanan Memanah Asia di Bangkok, Thailand, bulan depan.

Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) tetap memilih barisan pemanah sama untuk menyertai kejohanan yang menawarkan tiket kelayakan ke Tokyo itu walaupun berdepan jadual ketat kerana hanya mempunyai tempoh rehat sehari sebelum menyertai Sukan SEA Filipina hujung bulan depan.

Apa yang menarik, peluang untuk layak ke Sukan Olimpik cerah kerana pemanah handalan Korea Selatan, China, India, Jepun dan Indonesia sudah lebih awal menempah tiket.

Jadi, ia peluang keemasan untuk pemanah wanita negara menaiki podium di Bangkok.

"Ia saingan yang sengit sebab ada (pemanah dari) beberapa negara yang kami perlu tengok seperti Vietnam.

"Jadi, terdapat pesaing di peringkat ASEAN," kata Nur Aliya.

Bagaimanapun, Kejohanan Asia hanya menawarkan tiga tiket bagi acara recurve individu wanita.

"Saya dapat rasa kali ini terdapat rezeki untuk kami layak ke Sukan Olimpik.

"Satu untuk acara individu wanita dan untuk acara berpasukan pula (akan berlangsung) tahun depan.

"Ia sedikit-sebanyak memberikan kami harapan untuk melayakkan diri," kata seorang lagi pemanah negara, Nur Afisa Abdul Halil.